2.22.2013

Kenali Pantun.


Apa itu pantun??

Menurut kamus Dewan edisi keempat, pantun merupakan puisi lama yang biasanya terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap (dua baris pertama merupakan pembayang maksud dan yang selainnya mengandungi maksudnya). 
Pola pantun ialah (ab-ab)


Ciri-ciri  pantun
a. Wujud pembayang dan maksud  dalam setiap rangkap.  Ciri ini tidak terdapat dalam puisi yang lain.
b. Boleh berdiri sendiri kerana setiap rangkap pantun  sudah membawa makna yang lengkap berbanding dengan syair yang memerlukan  perkaitan dengan rangkap2 berikutnya.
c. Rima  tengah atau jedanya ditekan di dalam pantun, tetapi tidak demikian dalam
puisi  lain.
d. Ada unsur persamaan dengan puisi lain  terutama syair seperti dari segi rima akhirnya, jumlah perkataan dan sukukata.

Kepentingan pantun
a. pantun dapat disulami dalam puisi melayu yang lain bagi mempelbagaikan ungakapan. Contohnya dalam nyanyian rakyat. Gurindam. Bahasa  berirama dll.
b. Membantu mempertingkatkan daya  estetika (keindahan) puisi-puisi lain.
c. Menjadi  pemanis kata dan pengindah bicara dalam
ungkapan-ungkapan bahasa yang  puitis.
d. Melambangkan budaya tinggi dalam  ciptaan sastera.

Pantun Nasihat
Angin teluk menyisir pantai,
Hanyut rumpai di bawah titi,
Biarlah buruk kain dipakai,
Asal pandai mengambil hati.

Pergi mendaki Gunung Daik,
Hendak menjerat kancil dan rusa,
Bergotong-royong amalan yang baik
Elok diamalkan setiap masa.

Air melurut ke tepian mandi,
Kembang berseri bunga senduduk,
Elok diturut resmi padi,
 Semakin berisi semakin tunduk.

 Daun sirih ulam Cik Da,
Makan sekapur lalu mati,
Walaupun banyak ilmu di dada,
Biar merunduk resmi padi.

Buah pelaga makan dikikir,
Dibawa orang dari hulu,
Sebarang kerja hendak difikir,
Supaya jangan mendapat malu.

Tulis surat di dalam gelap,
Ayatnya banyak yang tidak kena,
Jagalah diri jangan tersilap,
Jikalau silap awak yang bencana.

Hendak belayar ke Teluk Betong,
Sambil mencuba labuhkan pukat,
Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat.

Pantun Melayu Klasik
Sirih berlipat sirih pinang,
Sirih dari Pulau Mutiara,
Pemanis kata selamat datang,
Awal Bismillah pembuka bicara.

Tetak buluh panjang suluh,
Mari jolok sarang penyengat,
Angkat doa jari sepuluh ,
Doa minta biar selamat.

Tuailah padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
 Intailah kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Hendak dulang diberi dulang,
Dulang berisi sagu mentah,
Hendak pulang ku beri pulang,
Tinggalkan pantun barang sepatah.

Lancang kuning lancang pusaka,
Nampak dari Tanjung Puan,
Kalau kering laut Melaka,
 Barulah saya lupakan tuan.

Asam kandis mari dihiris,
Manis sekali rasa isinya,
Dilihat manis dipandang manis,
Lebih manis hati budinya.

Ayam hutan terbang ke huta,
Tali tersangkut pagar berduri,
Adik bukan saudara bukan,
Hati tersangkut kerana budi.

Ayam rintik di pinggir hutan,
Nampak dari tepi telaga,
Nama yang baik jadi ingatan,
Seribu tahun terkenang juga.

Bila memandang ke muka laut,
Nampak sampan mudik ke hulu,
Bila terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik ingat selalu.

Burung Serindit terbang melayang,
Mari hinggap di ranting mati,
Bukan ringgit dipandang orang,
Budi bahasa rangkaian hati.

Bukan lebah sebarang lebah,
Lebah bersarang di pohon kayu,
Bukan sembah sebarang sembah,
Sembah adat pusaka Melayu.

Bukan lebah sebarang lebah,
Lebah bersarang di rumpun buluh,
Bukan sembah sebarang sembah,
Sembah menyusun jari sepuluh.

Laksamana berempat di atas pentas,
Cukup berlima dengan gurunya,
Bagaikan dakwat dengan kertas,
Sudah berjumpa dengan jodohnya.

Jenis-jenis Pantun
1. Dua Kerat
Buahbeluluk buah kepayang,
Dimakan mabuk dibuang sayang.

2. Empat Kerat - Teka-teki

Kelip-kelip disangka api,
Kalau api di mana puntungnya;
Hilang ghaib disangka mati,
Kalau mati di mana kuburnya?

3. Empat Kerat - Jenaka

Orang Rengat menanam betik,
Betik disiram air berlinang;
Hilang semangat penghulu itik,
Melihat ayam lumba berenang.

4. Empat Kerat - Kasih Sayang

Burung merbuk membuat sarang,
Anak enggang meniti di paya;
Tembaga buruk di mata orang,
Intan berkarang di hati saya.

5. Empat Kerat - Nasihat
Air melurut ke tepian mandi,
Kembang berseri bunga senduduk;
Elok diturut resmi padi,
Semakin berisi semakin tunduk.

6. Empat Kerat - Budi
Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi darjat kerana bahasa.

7. Empat Kerat - Nasib
Payang retak tali bersimpul,
Kendi lokan airnya tumpah;
Hidup tidak kerana kaul,
Mati bukan kerana sumpah.

8. Empat Kerat - Perantau
Pungut teritip di tiang batu,
Batu pecah dilanda karang;
Beginilah nasib dagang piatu,
Kain basah kering di pinggang.

9. Empat Kerat - Adat
Buah berangan di rumpun pinang,
Limau kasturi berdaun muda;
Kalau berkenan masuklah meminang,
Tanda diri beradat budaya.

10. Empat Kerat - Kepahlawanan
Patah rotan tali bersilang,
Batang meranti rimbun berjejal;
Langkah pahlawan di tengah gelanggang,
Berpantang mati sebelum ajal.

11. Empat Kerat - Peribahasa
Punggur rebah puyuh mendengut,
Dengut melata di tengah padang;
Sedangkan bah kapal tak hanyut,
Inikan pula kemarau panjang.

12. Empat Kerat - Kias dan Ibarat
Gesek biola tiup serunai,
Sayu dara berhati walang;
Putih mata si burung punai,
Kayu ara ditunggu helang.

13. Empat Kerat - Agama
Letak bunga di atas dulang,
Sisipkan daun hiasan tepinya;
Banyak berdoa selepas sembahyang,
Mohon diampun dosa di dunia.

14. Empat Kerat - Kanak-kanak
Anak rusa nani,
Baru kembang ekor;
Apa dosa kami,
Lalu tidak tegur.

Contoh-contoh pantun :

1. Lagu kanak-kanak + pantun



2. Pesta berbalas pantun

2.20.2013

^___^

Laman blog ini merupakan satu laman yang memuatkan pelbagai bahan pengajaran khusus untuk mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 3. Laman ini mengandungi nota-nota, uji minda dan bahan-bahan multimedia yang lain untuk tujuan pembelajaran yang lebih menyeronokkan. Semoga bahan-bahan yang terdapat pada laman ini akan dapat membantu adik-adik untuk belajar dengan lebih seronok dan berkesan.

SET INDUKSI KATA ADJEKTIF

SET INDUKSI KATA ADJEKTIF

JENIS-JENIS KATA ADJEKTIF

 
 
 
 
Klik untuk nota Powerpoint (pdf)
 
 
Lihat bawah untuk nota bertulis lengkap.
 
 
 
 


Kata adjektif tidak mempunyai subgolongan yang ketara, tetapi berdasar kriteria makna, kata adjektif dapat dibahagikan sekurang-kurangnya sembilan (9) kriteria, seperti berikut:

1. Kata adjektif sifat / keadaan
Kata adjektif sifat / keadaan ialah perkataan yang digunakan bagi
menerangkan sifat atau keadaan sebagai unsur keterangan kepada kata nama, seperti contoh berikut:
Contoh perkataan: kuat pintar nakal
keras lemah sihat
bijak cergas jahat
Contoh ayat: 1. Budak nakal selalu kena marah.
2. Dia lemah dalam matematik.
3. Kubu pertahanan pemberontak itu amat kuat.
4. Anak Pak Kamar bijak sekali.
5. Peserta itu berdiri dengan cergas.



2. Kata adjektif warna
Kata adjektif warna sebagai unsur keterangan kepada kata nama ialah perkataan yang memberi pengertian warna, seperti contoh berikut:
Contoh perkataan: jingga perang hitam
putih biru kelabu
Contoh ayat: 1. Adik suka pakai baju hijau.
2. Pakaian pelajar sekolah berwarna putih.
3. Baju kesukaan saya berwarna kuning.
4. Kereta merah itu kepunyaan abang.
5. Dia memiliki mata berwarna biru.


3. Kata adjektif ukuran
Kata adjektif ukuran sebagai unsur keterangan kepada kata nama ialah perkataan yang memberi pengertian ukuran, seperti contoh yang berikut:
Contoh perkataan: tebal gemuk panjang
nipis kurus pendek
tinggi rendah kecil
Contoh ayat: 1. Buku tebal itu sudah saya baca.
2. Anaknya masih kecil lagi.
3. Badannya semakin kurus.
4. Kertas nipis itu tidak boleh digunakan lagi.
5. Pokok itu semakin hari semakin tinggi.


4. Kata adjektif bentuk
Kata adjektif bentuk sebagai unsur keterangan kepada kata nama ialah perkataan yang memberi maksud rupa bentuk, seperti contoh berikut:
Contoh perkataan: lurus bulat bujur
bengkok leper bundar
lonjong buncit tajam
Contoh ayat: 1. Jalan lurus mudah dilalui.
2. Bentuk buah kelapa itu lonjong.
3. Mukanya bujur sirih.
4. Pinggan leper itu untuk pinggan makan.
5. Matanya tajam memandang ke hadapan.


5. Kata adjektif waktu
Kata adjektif waktu sebagai unsur keterangan kepada kata nama ialah perkataan yang memberi pengertian konsep masa, seperti contoh yang berikut:
Contoh perkataan: kerap awal sering
jarang lewat silam
baharu dahulu lampau
Contoh ayat: 1. Kedatangannya lewat hari ini.
2. Dia berada di kampus sehari suntuk.
3. Kenangan silam sukar dilupakan.
4. Nenek masih menyimpan barang-barang lama.
5. Cikgu menasihatkan kami supaya datang awal.


6. Kata adjektif jarak
Kata adjektif jarak sebagai unsur keterangan kepada kata nama ialah perkataan yang memberi makna konsep ruang seperti contoh yang berikut:
Contoh perkataan: nyaris dekat
hampir jauh
Contoh ayat: 1. Rumahnya tidak jauh dari Pejabat Pos.
2. Universiti itu dekat dengan lebuhraya.
3. Dia berdiri hampir dengan kereta saya.


7. Kata adjektif cara
Kata adjektif cara sebagai unsur keterangan kepada kata nama ialah perkataan yang memberi pengertian keadaan kelakuan atau ragam, seperti contoh yang berikut:
Contoh perkataan: pantas deras ligat
lambat gopoh perlahan
laju cermat cepat
Contoh ayat: 1. Kereta itu dipandu dengan laju.
2. Siapa cepat dia dapat.
3. Gasing itu berpusing ligat.
4. Arus sungai itu sangat deras.
5. Dia cermat apabila berbelanja.


8. Kata adjektif perasaan
Kata adjektif perasaan ialah perkataan yang digunakan sebagai unsur keterangan kepada kata nama yang memberi pengertian atau konsep perasaan, seperti contoh yang berikut:
Contoh perkataan: kasih, takut, malu, marah, sayang, geram, cinta, rindu          
Contoh ayat: 1. Dia masih marah kepada saya.
2. Nenek itu terlalu kasih akan cucunya.
3. Mereka amat rindu akan kampung halaman.
4. Kanak-kanak itu takut akan kucing.
5. Pemuda itu masih malu untuk bersuara.


9. Kata adjektif pancaindera
Kata adjektif pancaindera sebagai unsur keterangan kepada kata nama ialah perkataan yang membawa konsep sentuh, dengar, pandang, bau, dan rasa seperti contoh yang berikut:
§ Indera sentuh
Contoh perkataan: lembik kasar licin
halus kesat keras
Contoh ayat: 1. Lantai itu licin kerana baru dicuci.
2. Kulit mukanya sangat halus.
3. Kain yang kesat itu ialah kain lap.
4. Buku itu berkulit keras.
5. Dawai kasar itu untuk dibuat ampaian.
§ Indera dengar
Contoh perkataan: nyaring lembut mersik
merdu garau serak
Contoh ayat: 1. Suaranya merdu bagai buluh perindu.
2. Teriakannya nyaring sungguh.
3. Kebanyakan lelaki bersuara garau.
4. Saya suka mendengar suaranya yang lembut.
5. Alunan musik itu mersik.
§ Indera pandang
Contoh perkataan: comel hodoh molek
cantik buruk segak
Contoh ayat: 1. Pemuda segak itu guru saya.
2. Kakaknya suka berpakaian cantik.
3. Rumah buruk itu tidak berpenghuni.
4. Dia ingin mengahwini pemuda tampan.
5. Pakaian pengantin itu molek sungguh.
§ Indera bau
Contoh perkataan: wangi hanyir harum
busuk hancing tengik
Contoh ayat: 1. Bunga ros itu harum baunya.
2. Bangkai ikan itu menyebabkan bau hanyir.
3. Nasi tengik itu tidak boleh dimakan.
4. Setiap hari dia memakai minyak wangi.
5. Bau busuk itu datangnya dari lori sampah.
§ Indera rasa
Contoh perkataan: manis kelat masam
masin payau lazat
Contoh ayat: 1. Setiap hari kita minum air tawar.
2. Semua orang suka makanan lazat.
3. Buah limau masam rasanya.
4. Saya tidak suka minum ubat pahit.
5. Kuih tradisional itu terlalu manis.

2.17.2013

SUKATAN BMM3105

MINGGU 1
PENGGUNAAN ENJIN PENCARI BAHAN BAHASA MELAYU
  • Menggunakan web, video, audio dan imej
  • Menggunakan kata kunci, frasa yang sesuai untuk mendapatkan bahan pengajaran Bahasa Melayu
  • Menyimpan bahan dalam fail internet dan katalog internet
MINGGU 2
MENGGUNAKAN INTERNET, ENJIN PENCARI BAHAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU
  • Mengumpul dan mengkategorikan bahan audio, video, grafik dan teks
  • Mengumpul bahan daripada internet ke dalam folder berdasarkan kemahiran bahasa
MINGGU 3
APLIKASI GARIS PANDUAN DAN ETIKA PENGGUNAAN INTERNET
  • Memuat turun Garis Panduan dan Etika Penggunaan Internet
  • Memindahkan garis panduan dan etika penggunaan internet dalam Power Point dan Brosur
MINGGU 4
PEMILIHAN BAHAN INTERNET UNTUK PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU
  • Memilih Bahan Sastera
  • Memilih Bahan Tatabahasa
  • Memilih Bahan Bidang Ilmu Lain
MINGGU 5
MEMBINA DAN MENGGUNAKAN TAPAK, LAMAN WEB PEMBELAJARAN DAN PAKEJ TUTORIAL PEMBELAJARAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU
  • Prosedur pembinaan tapak pembelajaran bagi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu
  • Prosedur pembinaan laman web pembelajaran bagi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu
  • Membina dan menggunakan tapak pembelajaran dan laman web Bahasa Melayu
  • Membina dan menggunakan pakej tutorial pembelajaran
MINGGU 6
MEMBINA DAN MENGAPLIKASIKAN STRUKTUR PERPAUTAN DALAM PENYUSUNAN BAHAN P&P BAHASA MELAYU
  • Struktur Hierarki
  • Struktur Komposit
  • Struktur Linear
  • Struktur Rangkaian
MINGGU 7
MENGAPLIKASIKAN MODEL PEMPROSESAN MAKLUMAT DALAM P&P BAHASA MELAYU
  • Bengkel Model Pembinaan Pemprosesan Maklumat
  • Mengaplikasi model pemprosesan maklumat dalam simulasi pengajaran dengan menggunakan tapak pembelajaran
  • Membina bahan
MINGGU 8
PENGAJARAN BAHASA MELAYU SECARA DALAM TALIAN DAN LUAR TALIAN
  • Melaksanakan simulasi pengajaran dalam talian
  • Melaksana simulasi pengajaran dalam talian dan luar talian dengan menggunakan laman web dan tapak pembelajaran
MINGGU 9
MENGEDIT BAHAN PENGAJARAN BAHASA MELAYU SECARA DALAM TALIAN MENJADI BROSUR, NEWSLETTER & KAD PENGUMUMAN
  • Prosedur pengeditan
  • Prinsip pengeditan
  • Melaksanakan pengeditan
  • Aplikasi ke dalam pengajaran kemahiran bahasa
MINGGU 10
MEMBINA BAHAN VIDEO DAN AUDIO UNTUK PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU
  • Menentukan peringkat pengajaran dan kemahiran bahasa
  • Menentukan prinsip pembinaan bahan video dan audio
  • Membina bahan video dan audio
  • Menggunakan perisian audio untuk pengajaran kemahiran mendengar bertutur dan membaca
MINGGU 11
PENGAJARAN BAHASA MELAYU SECARA SIDANG VIDEO
  • Konferensi secara dalam talian
  • Mengadakan sidang video untuk mengajarkan kemahiran mendengar bertutur, membaca dan menulis
MINGGU 12
MENGGUNAKAN ALAT PENGARANGAN DAN PENGAJARAN BAHASA MELAYU
  • Menggunakan alat pengarangan dalam mencapai kemahiran bahasa sukatan pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah
  • Aplikasi penyuntingan bahan Bahasa Melayu dengan menggunakan alat pengarangan
MINGGU 13
MEREKA CIPTA ANIMASI PERSEMBAHAN BAHAN PENGAJARAN BAHASA MELAYU
  • Menggunakan animasi perkataan dan objek Power Point
  • Mencari, mengumpul, menyesuaikan dan menggunakan animasi daripada internet
  • Memanipulasi animasi dalam persembahan
MINGGU 14
BENGKEL CAKERA PADAT PEMBELAJARAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU
  • Meneroka dan mengklasifikasikan cakera padat
  • Memilih cakera padat pembelajaran Bahasa Melayu
  • Menggunakan cakera padat dalam aktiviti pembelajaran
MINGGU 15
SEMINAR & PAMERAN TMK DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU DEKAD INI DAN MENDATANG
  • Mengadakan seminar
  • Mengadakan pameran