1.30.2013

Pemotong Kayu Yang Jujur



Tersebutlah kisah nun jauh di pedalaman, tinggalnya seorang pemotong kayu yang tua dan miskin. Dia mencari rezeki hanyalah dengan menebang pokok yang sederhana besarnya untuk dijual sebagai kayu api.Dia tinggal bersama dengan isterinya yang akan menemaninya setiap kali mereka mencari kayu api untuk dipotong. 

Dijadikan cerita,
Pergilah si tua tersebut jauh ke hutan untuk menebang pokok untuk dibuat kayu api. Tidak seperti kebiasaannya, kali ini si isteri tidak dapat menemani si suami kerana sakit.

Maka ke hutanlah si tua seorangan awal pagi sebelum terbit mentari untuk mencari kayu api. Seharianlah si tua menebang pokok dengan kapak besinya yang telah uzur seuzur usianya. 

Oleh kerana terlalu letih, pemotong kayu itu terlepas kapak kesayangan dari tangannya lalu terjatuh ke dalam sungai yang dalam. Menangis si tua kerana kehilangan kapak yang menjadi punca rezeki, hendak terjun untuk mencari kapaknya dia takut akan dihanyut arus. Merataplah ia mengenangkan nasib.

Tiba-tiba turun si pari-pari dari langit kerana kasihankan si tua itu. Lalu turunlah si pari-pari bertanya."Wahai orang tua, kenapakah kau bersedih?"

Dengan perasaan takut dan terkejut kerana melihat pari-pari. Si tua menceritakan tentang nasibnya yang malang kerana kehilangan punca pencariannya.

"Baiklah, aku akan bantu kamu mencari kapak engkau yang tenggelam".Lalu dengan serta merta terjunlah si pari-pari ke dalam sungai. Selang beberapa minit timbul kembali si pari-pari sambil membawa kapak emas lalu dihulur kepada si tua.Dengan sedih jawab si tua "ini bukan kepunyaan hamba, tidak mungkin hamba mampu memiliki kapak emas ini", jawab si pemotong kayu dengan jujur.

Lalu terjunlah sekali lagi si pari-pari ke dalam sungai dan timbul kembali bersama kapak perak.  Si tua tetap mengatakan itu bukan kapak miliknya. Sekali lagi si pari-pari terjun lalu membawa pula kapak gangsa.  Si tua itu tidak menerimanya sehinggalah si pari-pari membawakannya kapak besi yang uzur.

Maka apabila terpandang akan kapak itu, Pemotong kayu dengan gembiranya mengatakan kapak itu barulah miliknya. Lalu si pari-pari menyerahkan kapak tersebut kepada si tua. 

Sebagai balasan terhadap kejujuran si pemotong kayu itu, pari-pari telah menghadiahkannya kapak emas, perak dan gangsa. Pulanglah si tua dengan hati yang gembira. Apabila sampai di rumah, pemotong kayu menceritakan peristiwa itu kepada  isterinya . Si isteri turut bergembira dengan kejujuran suaminya.

- T A M A T -

1 ulasan:

  1. ▷ Casino Site ᐈ Top 100 Online Slots Casino Reviewed & Reviewed
    ⭐ Casino Review ✓ Slots ✓ Live Dealer Games ✓ Bonuses ✓ Mobile App ✓ Desktop. ✓ luckyclub Read reviews of trusted casinos ✓ Mobile.

    BalasPadam